Keganasan penunjuk perasaan Mesir berterusan
Astro Awani
Mac 10, 2013 16:46 MYT
Mac 10, 2013 16:46 MYT
Dua dilaporkan maut dalam keganasan terbaru penunjuk perasaan di Mesir susulan tindakan mahkamah membebaskan tujuh anggota polis yang didakwa terbabit dalam keganasan bola sepak di Port Said tahun lalu.
Penunjuk perasaan yang merupakan penyokong kelab Al Ahly itu bertindak membakar Kelab Pegawai Polis dan Ibu Pejabat Persekutuan Bola Sepak di ibu negara Kaherah.
Dalam perbincangan yang diadakan, mahkamah membebaskan 28 anggota polis tanpa sebarang tuduhan yang terbabit dalam insiden tersebut.
Para penyokong mendakwa tidak berpuas hati dengan keputusan hakim selain menyatakan kesemua anggota polis tersebut seharusnya bertanggungjawab keatas kematian 72 penyokong bola sepak di Port Said.
Bagaimanapun dalam keputusannya, dua daripada pegawai kanan, bekas Ketua Keselamatan Polis Jeneral, Essamm Samak dan Brigadier Jeneral, Mohammed Saeed dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun.
Saeed dikatakan bertanggungjawab mengunci stadium ketika rusuhan tercetus.
Saksi juga mendakwa anggota polis yang ditempatkan dalam stadium langsung tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan keganasan yang berlaku di dalam stadium tersebut.
Penunjuk perasaan turut mengugut untuk meneruskan bantahan sehingga hukuman lebih keras dijatuhkan ke atas mereka yang tertuduh.