Keganasan meningkat menjelang pilihan raya Pakistan

Bernama
Januari 22, 2024 16:32 MYT
Pilihan Raya Umum (PRU) Pakistan dijadualkan pada 8 Feb bagi memilih ahli Perhimpunan Kebangsaan ke-16 serta empat dewan undangan negeri. - Foto Reuters
ISLAMABAD: Pakistan kini menyaksikan keganasan berleluasa termasuk serangan militan dan cubaan mengancam nyawa calon yang bersaing untuk merebut kerusi Parlimen dan wilayah, lapor Agensi Berita IRNA.
Dua wakil parti terselamat dalam serangan militan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan Balochistan pada malam Ahad.
Menurut laporan media, insiden terbaru termasuk pembunuhan tiga calon sejak parti politik mula memfailkan kertas pencalonan.
Kereta bekas Ahli Parlimen Mohsin Dawar turut diserang semasa beliau berkempen. Penyerang melarikan diri selepas penyokongnya membalas tembakan.
Pada 10 Jan, Malik Kaleem, seorang calon wilayah dan dua penyokongnya terbunuh dalam serangan di Tappi.
Konvoi calon parti Jamiat Ulama Islam di wilayah Khyber Pakhtunkhwa turut menjadi sasaran penyerang tidak dikenali. Calon terselamat daripada serangan ini.
Pilihan Raya Umum (PRU) Pakistan dijadualkan pada 8 Feb bagi memilih ahli Perhimpunan Kebangsaan ke-16 serta empat dewan undangan negeri - Punjab, Khyber Pakhtunkhwa, Sindh dan Balochistan.
Beberapa pihak menyatakan kebimbangan mengenai keadaan keselamatan, terutama di Khyber Pakhtunkhwa dan Balochistan, malah terdapat resolusi supaya pilihan raya yang telah diluluskan oleh Senat Pakistan itu ditangguhkan.
Khyber Pakhtunkhwa merupakan pusat memerangi keganasan domestik Pakistan antara 2003 dan 2014.
-- BERNAMA
#pilihan raya Pakistan #ketegangan meningkat #tembakan #pembunuhan tiga calon
;