Keganasan lebih buruk akan berlaku di timur Congo - Ketua Hak Asasi Manusia PBB
Bernama
Februari 7, 2025 04:00 MYT
Februari 7, 2025 04:00 MYT
GENEVA: Keganasan lebih buruk "mungkin berlaku" dalam konflik yang melanda Republik Demokratik Congo, lapor Agensi Berita Jerman (dpa), memetik kenyataan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Volker Turk, pada Jumaat.
Serangan oleh kumpulan pemberontak M23 yang disokong Rwanda terhadap pasukan Congo di sekitar bandar raya Goma di timur negara itu menyebabkan hampir 3,000 orang terbunuh dan ratusan ribu lagi terpaksa berpindah sejak awal Januari, menurut PBB.
Dalam satu sesi khas Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, Turk berkata risiko keganasan di subrantau ini kini berada pada tahap tertinggi yang pernah dicatatkan.
Pejabatnya sedang menyiasat laporan tentang kejadian perkosaan beramai-ramai dan keganasan seksual, kata pegawai Austria itu.
Aktivis hak asasi manusia melaporkan penganiayaan oleh pemberontak dan tentera Rwanda, katanya.
"Saya juga sangat bimbang tentang penyebaran senjata dan kerahan kanak-kanak sebagai buruh," tambah Turk.
Kerajaan Congo menuduh Rwanda menyokong M23 dalam usaha untuk mendapatkan akses kepada hasil galian penting seperti coltan, emas, nikel, kobalt dan tembaga.
-- BERNAMA