Keganasan jadi kebimbangan utama dalam Mesyuarat Jenayah Rentas Negara ASEAN

Bernama
Ogos 23, 2023 18:10 MYT
Kerjasama itu termasuk menangani pembiayaan keganasan, menentang penyebaran ideologi ekstremis melalui media sosial, dan inisiatif untuk meningkatkan keupayaan pencegahan dan tindak balas. -Gambar hiasan
JAKARTA: Isu keganasan menjadi kebimbangan utama semasa Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Negara ke-17 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur.
Indonesia, selaku tuan rumah, menekankan kepentingan mengukuhkan kerjasama serantau bagi menangani ancaman ini yang berpotensi menggugat kestabilan rantau ini.
"Kumpulan pengganas di sebuah negara menimbulkan ancaman kepada seluruh wilayah," kata jurucakap polis unit elit antikeganasan Aswin Siregar dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kerjasama itu termasuk menangani pembiayaan keganasan, menentang penyebaran ideologi ekstremis melalui media sosial, dan inisiatif untuk meningkatkan keupayaan pencegahan dan tindak balas.
Sementara itu, Deklarasi Labuan Bajo, dimuktamadkan pada sesi mesyuarat yang berakhir hari ini, menjadi asas untuk meningkatkan kerjasama dalam memerangi jenayah rentas negara.
Ini termasuk penyiasatan bersama, bantuan undang-undang bersama, serta amaran awal dan tindak balas mengenai aktiviti ekstremis, kata Ketua Polis Indonesia Jeneral Listyo Sigit Prabowo.
Elemen lain termasuk berkongsi maklumat, mengesan bukti, pertukaran kakitangan, melindungi saksi dan mangsa, dan menangani penyeludupan senjata turut menjadi keutamaan.
-- BERNAMA
#ASEAN #Mesyuarat Jenayah Rentas Negara #isu keganasan #Indonesia
;