Keganasan etnik: Sri Lanka isytihar darurat
Agensi
Mac 6, 2018 19:17 MYT
Mac 6, 2018 19:17 MYT
Kerajaan Sri Lanka mengisytiharkan darurat di seluruh negaranya sebagai satu usaha bagi menghentikan kes keganasan etnik yang berlaku di negara itu, menurut jurucakap kerajaan.
Tindakan ini susulan daripada perintah berkurung di bandar Kandy, berikutan pergolakan antara komuniti Islam dan Buddha, pada Isnin lepas.
Perintah berkurung di Kandy terpaksa dilakukan susulan seorang penganut Buddha mati dibunuh dan pusat perniagaan milik seorang penganut Islam dibakar.
Pihak polis memberitahu, terdapat tindakan liar yang dilakukan oleh orang awam hingga terdapat rumah yang dibakar dengan sengaja.
Pada Februari 2018, lima orang cedera parah manakala beberapa masjid dan lot kedai rosak akibat pertembungan dua etnik tersebut.
Terdapat beberapa dakwaan daripada masyarakat beragama Buddha yang mengatakan, orang Islam memaksa penganut agama Buddha tukar agama kepada Islam dan merosakkan tapak bersejarah Buddha.
Terdapat juga dakwaan yang mengatakan, sebuah organisasi Buddha, Bodu Bala Sena (BBS) sebagai pencetus kepada keganasan etnik berlaku.
Sri Lanka mempunyai populasi 21 juta rakyat yang merangkumi 10 peratus masyarakat beragama Muslim, 13 peratus masyarakat beragama Hindu, dan selebihnya masyarakat beragama Buddha