Keganasan: Dua rakyat Singapura ditahan di bawah ISA

Bernama
September 30, 2015 23:04 MYT
MHA berkata penahanan kedua-dua lelaki itu menunjukkan ancaman ISIS yang berterusan selain ancaman yang dicetuskan oleh rakyat Singapura yang meradikalkan diri mereka sendiri. - Gambar Fail
Dua rakyat Singapura yang meradikalkan diri mereka sendiri ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lepas kerana terlibat dalam kegiatan berkaitan keganasan, demikian diumumkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) hari ini.
MHA dalam kenyataannya hari ini berkata siasatan menunjukkan kedua-dua lelaki berusia 29 dan 18 tahun itu berhasrat ke Syria untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) serta melibatkan diri dalam keganasan di sana.
Lelaki berusia 29 tahun itu meradikalkan dirinya sendiri selepas terpengaruh dengan propaganda radikal dalam talian ISIS.
Pada Mei 2015, dia disabitkan kesalahan dan dihukum penjara tiga bulan kerana mengapi-apikan keganasan agama melalui catatannya yang pro-ISIS dalam media sosial.
Oleh kerana dia terus menyatakan sokongan kuat kepada ISIS semasa dipenjarakan, dia ditangkap di bawah ISA pada Julai lepas untuk siasatan bagi menilai sama ada dia membawa ancaman kepada keselamatan Singapura.
Siasatan selanjutnya menunjukkan dia merancang ke Syria untuk menyertai ISIS sebaik sahaja mengumpul wang yang cukup untuk membiayai perjalanannya.
Dia juga memutuskan jika tidak dapat menyertai ISIS, dia akan menimbang untuk berjuang bersama-sama kumpulan militan serantau yang dianggap memihak kepada ISIS.
Lelaki itu menyifatkan penahanannya di bawah ISA bukannya satu halangan dan mahu meneruskan rancangannya menyertai ISIS selepas dibebaskan daripada tahanan.
Menurut kenyataan MHA, lelaki itu berkata dia sanggup mati dalam mempertahankan 'khalifah' yang diisytiharkan oleh ISIS.
Pemuda berusia 18 tahun itu pula terpengaruh dengan propaganda radikal dalam talian yang dimuatkan oleh ISIS sehingga dia menyimpan hasrat untuk melancarkan jihad bersenjata demi ISIS.
Dia sanggup dilatih oleh ISIS untuk berjuang dan membunuh musuh-musuh kumpulan itu dan sanggup mati dalam perjuangan supaya dia mendapat ganjaran syahid.
Dalam usaha menyertai ISIS di Syria, pemuda itu telah mengumpul maklumat bagaimana dia boleh membuat perjalanan ke negara itu dan cuba mempengaruhi individu lain yang mendampinginya supaya menyokong perjuangan ISIS.
MHA berkata penahanan kedua-dua lelaki itu menunjukkan ancaman ISIS yang berterusan selain ancaman yang dicetuskan oleh rakyat Singapura yang meradikalkan diri mereka sendiri.
Beberapa rakyat Singapura yang telah ditahan juga sanggup melancarkan serangan pengganas di republik ini.
#Akta Keselamatan Dalam Negeri #Iraq #ISA #Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri #negara Islam #Syria
;