Keganasan di Gaza tingkat tahap kebuluran - Laporan
Astro Awani
Oktober 18, 2024 08:45 MYT
Oktober 18, 2024 08:45 MYT
GAZA: Seluruh Semenanjung Gaza kekal berisiko kebuluran dan mengalami tahap kecemasan kelaparan.
Operasi ketenteraan Israel yang sengit menambah kebimbangan dan menghalang akses kemanusiaan.
Menurut analisis dari badan pemantau dunia, Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu, kira-kira 1.84 juta orang di seluruh enklaf Palestin yang terkepung hidup melalui tahap ketidakamanan makanan akut yang tinggi.
Ini termasuk hampir 133,000 orang mengalami tahap paling teruk, atau "malapetaka".
Menurut IPC, angka itu menurun daripada kira-kira 343,000 orang yang mengalami kelaparan yang teruk setakat kemas kini terakhir pada bulan Jun, tetapi ia dijangka kembali ke tahap itu dalam beberapa bulan akan datang.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk menyifatkan penilaian itu sebagai "sangat menakutkan".
Katanya, krisis itu pada dasarnya adalah akibat daripada keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa Israel.
Ia adalah dalam kuasa mereka untuk mengubah keadaan dengan segera dan menegaskan bahawa kebuluran orang awam sebagai kaedah peperangan merupakan jenayah perang.
IPC mencatatkan peningkatan dalam makanan yang memasuki Gaza sejak Mei, tetapi berkata, akses kemanusiaan mula mengecil semula pada September.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, beliau bimbang dengan analisis IPC.
Tegasnya, kebuluran semakin melanda dan ia tidak boleh ditanggung.
Justeru beliau menekankan bahawa titik persimpangan mesti dibuka serta-merta, halangan birokrasi mesti dihapuskan dan undang-undang serta ketenteraman dipulihkan supaya agensi PBB dapat menyampaikan bantuan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa.