Keganasan di Bangkok turut jejaskan siri dialog seliaan Malaysia
Astro Awani
Februari 24, 2014 07:30 MYT
Februari 24, 2014 07:30 MYT
Krisis politik yang meletus di Bangkok dibimbangi menjejaskan proses dialog antara pihak pemisah Selatan Thailand yang diwakili oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan pihak kerajaan.
Namun kumpulan kerja proses perundingan damai Selatan Thailand masih yakin, satu peletakan senjata separa dapat dicapai selewat-lewatnya pada 2015.
Jelas fasilitator dialog tersebut, Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim, pihaknya juga yakin dialog ini akan diteruskan dibawah kerajaan Thailand yang bakal menerima mandat nanti setelah krisis politiknya berakhir.
“Kita juga mengadakan beberapa pertemuan secara tertutup antara delegasi pihak Malaysia sebagai fasilitator dan pihak Thai, BRN serta kelompok di Selatan. Jadi untuk kita fikir bila agaknya memang sukar, tetapi bagi saya paling penting kita sudah mencapai beberapa kejayaan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menyatakan dialog yang sudah empat kali berlangsung itu bukanlah proses rundingan damai tetapi lebih kepada usaha untuk wujudkan persefahaman antara dua wakil yang bertelagah.
Namun beliau memaklumkan dialog itu sudah mencapai beberapa kemajuan dalam mengurangkan keganasan di Selatan Thai.
Antaranya apabila pihak BRN yang mengambil keputusan untuk tidak menyerang sasaran-sasaran lemah seperti wanita dan kanak-kanak selain bersetuju untuk bergabung dengan wakil dari pergerakan masyarakat sivil seperti badan bukan kerajaan dan wakil pelajar serta akademik untuk turut mewakili suara Selatan Thailand.
Ttiga serpihan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) telah bersetuju untuk bekerjasama bagi menjayakan proses dialog.
Proses dialog sebelum ini pernah diadakan di Kuala Lumpur pada 5 Mac, 20 Mac, 29 April, dan 13 Jun tahun lalu.
Ia bagaimanapun terhenti sejak krisis politik meletus di Bangkok.