Kedutaan Vietnam bantu keluarga mangsa kes bunuh di hotel Bangkok

Bernama
Julai 17, 2024 06:38 MYT
Enam warganegara asing termasuk empat rakyat Vietnam ditemui mati di hotel lima bintang di daerah Pathun Wan, Bangkok. -Gambar fail/Reuters
BANGKOK: Kedutaan Vietnam di Thailand berusaha gigih untuk menyokong keluarga mangsa yang ditemui mati di Hotel Grand Hyatt Erawan di Bangkok pada Selasa dan memastikan siasatan kes berjalan lancar, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Ringkasan AI
  • Empat warganegara Vietnam antara enam warganegara asing ditemui mati di Hotel Grand Hyatt Erawan di Bangkok. Kesemua mangsa dipercayai dibunuh.
  • Kedutaan Vietnam di Thailand sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi membantu keluarga mangsa dan memastikan siasatan berjalan lancar.
  • Kedutaan juga akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Vietnam untuk mengesahkan identiti empat mangsa warganegara Vietnam berdasarkan maklumat pasport.

Enam warganegara asing termasuk empat rakyat Vietnam ditemui mati di hotel lima bintang di daerah Pathun Wan, Bangkok.
Pesuruhjaya Polis Bangkok Thithi Saengsawang dalam satu sidang media lewat Selasa berkata bahawa kesemua mangsa dipercayai dibunuh.
Duta Pham Viet Hung berkata kedutaan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dan unit berkaitan di Kementerian Luar Vietnam untuk mengenal pasti mangsa, memberikan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa serta mengambil langkah-langkah perlindungan yang diperlukan.
Hung berkata bahawa sebaik mengetahui kejadian itu, beliau dan kakitangan kedutaan segera tiba di lokasi untuk menilai situasi.
Kedutaan akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Vietnam untuk mengesahkan identiti empat mangsa warganegara Vietnam berdasarkan maklumat pasport.
Setelah identiti mangsa disahkan, kedutaan akan memaklumkan kepada keluarga dan membantu mereka menyelesaikan prosedur yang diperlukan bagi membawa pulang jenazah secepat mungkin setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa Thailand, katanya.
Dalam pada itu, beliau menghargai tindak balas pantas Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin dan pegawai tinggi polis Thailand yang hadir di lokasi kejadian dan mengadakan sidang media mengenai kes ini pada petang Selasa.
Kedutaan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand sepanjang siasatan dan memberikan maklumat terkini kepada media apabila maklumat baharu tersedia, kata Hung.
-- BERNAMA
#Hotel Grand Hyatt Erawan #empat rakyat Vietnam #Kedutaan Vietnam #ditemui mati di hotel lima bintang