Kedutaan Itali di Moscow gesa rakyatnya tinggalkan Rusia
Bernama
September 30, 2022 11:46 MYT
September 30, 2022 11:46 MYT
ANKARA: Kedutaan Itali di ibu negara Rusia pada Khamis menggesa semua rakyatnya di negara itu untuk keluar kecuali atas sebab tertentu, lapor Agensi Anadolu.
"Memandangkan perkembangan terkini dalam konteks antarabangsa dan kesukaran yang semakin meningkat untuk perjalanan menerusi laluan udara dan darat dari Rusia, rakyat Itali yang berada di Rusia disyorkan untuk menilai sama ada perlu atau tidak untuk kekal di sana, atau meninggalkan negara itu," kata kedutaan itu dalam satu kenyataan.
"Melakukan perjalanan melalui udara dari Persekutuan Rusia ke Itali dan negara ketiga yang lain menjadi semakin sukar.
"Khususnya, berlaku peningkatan dalam harga tiket yang sudah sedia tinggi, yang dijual oleh syarikat penerbangan dan terdapat laporan mengenai orang ramai yang beratur panjang di beberapa lintasan sempadan yang menghubungkan Persekutuan Rusia dengan beberapa negara jiran," kata kenyataan itu.
Kedutaan berkata mereka yang perlu meninggalkan Rusia dinasihatkan mendapatkan tiket yang tersedia daripada syarikat komersial secepat mungkin.
-- BERNAMA