Kedutaan China kecam pertuduhan UK terhadap kerajaan HKSAR
Bernama
Mei 14, 2024 19:28 MYT
Mei 14, 2024 19:28 MYT
LONDON: Kedutaan China di United Kingdom (UK) mengeluarkan satu kenyataan pada Isnin mengecam tuduhan UK terhadap kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), menurut laporan Xinhua.
Awal Isnin, polis Britain mengumumkan pendakwaan terhadap tiga lelaki yang dituduh membantu perkhidmatan perisikan asing Hong Kong.
Pihak China menolak keras dan mengecam perbuatan Britain yang didakwa mengeluarkan tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan HKSAR, serta telah membuat representasi kepada pihak UK mengenai perkara itu, kata kedutaan itu dalam satu kenyataan.
Sejak beberapa lama, UK didakwa telah mengemukakan siri tuduhan terhadap China, termasuk tuduhan mengenai "pengintip China" dan serangan siber, semua tuduhan ini tidak berasas dan bersifat memfitnah," kata kenyataan itu.
Pihak Britain juga didakwa secara sewenang-wenangnya mengganggu, menangkap, dan menahan warga China di UK dengan alasan kehakiman dan keselamatan negara dan ini merupakan provokasi serius terhadap China dan melanggar norma asas yang mengatur hubungan antarabangsa, katanya.
"Perlu ditegaskan bahawa Hong Kong telah lama kembali ke pangkuan China. Hong Kong adalah Hong Kong China. UK tidak mempunyai hak dan tidak berada dalam kedudukan untuk menuding jari dan campur tangan dalam urusan Hong Kong," kata kenyataan itu.
"Kerajaan China kekal teguh dalam melawan elemen didakwa sebagai anti-China yang berusaha mengganggu Hong Kong dan dalam mempertahankan kestabilan dan kemakmuran wilayah itu.
Kami menggesa pihak UK untuk segera memperbetulkan kesilapan mereka, berhenti menyebarkan teori ancaman China yang disebut-sebut, mengakhiri semua bentuk manipulasi politik terhadap China, dan memastikan semua hak dan kepentingan sah warga China di UK," katanya.
"Pihak UK tidak seharusnya melangkah lebih jauh ke arah yang salah dan membahayakan hubungan China-UK," katanya.
--BERNAMA-XINHUA