Kedutaan besar Indonesia sokong pengeluaran kad pekerja asing sementara

Bernama
Januari 18, 2017 16:24 MYT
Herman berkata langkah itu akan menarik minat lebih ramai warga Indonesia untuk bekerja secara sah sekali gus menyelesaikan masalah pekerja asing yang tidak berdaftar di negara ini. - Gambar fail
Kedutaan Besar Indonesia di sini menyambut baik usaha Jabatan Peguam Negara membenarkan kerajaan mengeluarkan Kad Pekerja Asing Sementara kepada pekerja asing tanpa izin (PATI) yang bermajikan di negara ini.
Duta Besar Indonesia di Malaysia Herman Prayitno berkata langkah itu akan menarik minat lebih ramai warga Indonesia untuk bekerja secara sah sekali gus menyelesaikan masalah pekerja asing yang tidak berdaftar di negara ini.
"Berita ini sudah tentu menggembirakan rakyat Indonesia dan berharap ia betul-betul jadi kenyataan kerana akan memudahkan urusan pekerjaan rakyat Indonesia yang ingin bekerja di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S A Vigneswaran di bangunan Parlimen, hari ini.
Herman berkata perkara itu akan dibincangkan antara Kementerian Tenaga Kerja di Indonesia dan Kementerian Sumber Manusia bagi merealisasikan hasrat kedua-dua pemimpin negara untuk menyelesaikan masalah PATI di Malaysia.
Menurutnya lebih sejuta pekerja Indonesia berdaftar di negara ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kebenaran pengeluaran kad itu diberi berdasarkan keperluan semasa dan terbuka kepada semua sektor namun, hanya tertakluk kepada PATI yang mempunyai majikan.
Dalam pada itu, Herman yang akan menamatkan tugasnya pada 31 Jan ini merakamkan ucapan terima kasih di atas jasa pemimpin dan rakyat di Malaysia yang membantu melancarkan tugas beliau sepanjang berkhidmat di negara ini.
Beliau yang bertugas sejak November 2012 berharap kedua-dua negara akan dapat meneruskan kerjasama lebih erat dengan Duta Besar Indonesia ke Malaysia yang baharu, Rusdi Kirana.
"Saya berharap pemimpin di negara ini akan terus membantu pengganti saya, Rusdi Kirana, untuk meneruskan agenda melibatkan perbatasan darat dan laut serta pekerja yang tidak berdaftar sehingga menghasilkan masa depan dan kesejahteraan kepada kedua-dua negara," katanya.
Sementara itu, Vigneswaran berkata beliau akan meminta Presiden Majlis Senator Malaysia Senator Datuk Seri Khairudin Samad untuk berjumpa dengan Duta Besar Indonesia yang baharu selepas beliau memulakan tugas bagi meneruskan keakraban dan silaturahim kedua-dua negara. -- Bernama
#Duta Besar Indonesia #Herman Prayitno #Kedutaan Besar Indonesia
;