Kedutaan Arab Saudi di The Hague diserang dengan tembakan
Agensi
November 12, 2020 20:47 MYT
November 12, 2020 20:47 MYT
THE HAGUE: Kedutaan Arab Saudi di The Hague, Belanda menjadi sasaran serangan tembakan pada awal pagi Khamis yang meninggalkan kesan lubang peluru pada beberapa tingkap dan bahagian depan bangunan tersebut .
Menurut pihak polis tempatan, tiada kecederaan yang dilaporkan dalam kejadian itu yang berlaku sehari selepas insiden letupan bom ketika sambutan hari memperingati mangsa Perang Dunia Pertama (WWI) di Jeddah.
Jurucakap polis, Steven van Santen, berkata pihaknya menerima laporan maklumat insiden itu pada jam 6 pagi waktu tempatan.
Pegawai penyiasat kemudian menemui beberapa sarung peluru di luar bangunan dan sehingga kini masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mencari saksi kejadian.
Pada Rabu, tiga orang cedera dalam kejadian letupan bom di kawasan tanah perkuburan bukan Islam di Jeddah di mana pegawai konsulat Amerika dan Eropah hadir bagi memperingati tamatnya WWI.
Bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk yang boleh mengaitkan kedua-dua kejadian serangan itu sehingga kini.