Kedai di Bangkok tawar lebih 70 jenis mi segera, masak dan terus makan di kedai
Astro Awani
Mac 26, 2022 10:15 MYT
Mac 26, 2022 10:15 MYT
BANGKOK: PASTI ramai suka makan mi segera, bukan?
Ya, kita tahu makanan itu tidak berkhasiat, kurang nutrisi malah tinggi pula kandungan perasa tambahannya.
Namun dek kerana harganya yang murah, mudah dan rasa yang sedap, ramai menggemarinya.
Tapi, bagaimana pula kalau ada sebuah kedai yang menyediakan anda lebih 70 jenis mi segera?
Bukan saja banyak pilihan, harganya murah malah boleh terus makan di kedai. Tidakkah ia bakal menjadi 'trending'?
Itulah yang berlaku pada Since Good Noodle di Bangkok, Thailand.
Baru sahaja dibuka pada Oktober lepas, ia pantas menjadi tarikan, terutamanya bagi golongan muda. Malah dikhabarkan ribuan sudah menjamah mi segera di sana.
Salah seorangnya remaja berusia 18 tahun, Ratchadaporn Kongnam: "Ini kali ketiga saya makan di sini.
"Saya mahu cuba semua mi segera di sini, nak tahu apa perbezaan rasanya," katanya memetik laporan Reuters.
Pengarah urusan kedai tersebut, Ungkool Wongkolthoot berkata, dia meninjau kedai serbaneka dan pasar raya di Bangkok semasa pandemik untuk mencari semua jenis mi segera.
Menariknya, dia menemukan lebih daripada 350 jenis mi segera dan dari situ, dia melihat peluang perniagaan.
"Saya mahu memberikan pelanggan pengalaman segera dengan mi.
"Bukan sekadar membeli mi dari kedai serbaneka atau pasar raya lain, kemudian melupakannya di rumah," katanya.
**Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!