Kedai bakeri di Jerman jual 'vaksin' berperisa

Agensi
Februari 9, 2021 22:43 MYT
Lebih unik, apabila pelanggan juga boleh mendapatkan sijil vaksinasi bersama dengan kuih donat yang telah diberi suntikan dos vaksin ataupun sebenarnya jem berperisa itu. - Gambar REUTERS
PASSAU: Seorang pemilik kedai bakeri di Passau, Jerman menawarkan ‘pelbagai jenis vaksin’ kepada pelanggannya, sebagai usaha menangani tanggapan negatif terhadap program vaksinasi.
'Vaksin' yang dimaksudkan itu adalah suntikan jem menggunakan picagari besar yang akan dimasukkan ke dalam produk bakerinya.
Idea menggunakan vaksin bagi meletakkan jem berperisa ke dalam kuih donat itu, bagaimanapun, diterima baik oleh pelanggan.
Malah, pelanggan juga boleh mendapatkan sijil vaksinasi bersama dengan produk bakeri yang telah ‘divaksin’ atau diletakkan jem.
“Seseorang boleh memilih pelbagai perisa vaksin yang ada, saya sangat suka.
"Dan pelanggan boleh membiarkan donat divaksin di kedai atau diberi pilihan untuk membawa 'dos vaksin' pulang ke rumah,” kata pelanggan, Elke Rott.
Lebih unik, apabila pelanggan juga boleh mendapatkan sijil vaksinasi bersama dengan kuih donat yang telah diberi suntikan dos vaksin ataupun sebenarnya jem berperisa itu.
Sesiapa sahaja yang dapat mengumpul 21 setem pada sijil vaksinasi, akan mendapat dos vaksinasi atau jem dalam bentuk balang.
#COVID-19 #bakeri #vaksin berperisa #kuih donat #picagari besar #Jerman #vaksinasi
;