Kecuaian, kurang langkah keselamatan punca dewan perkahwinan terbakar di Iraq
Astro Awani
Oktober 2, 2023 06:45 MYT
Oktober 2, 2023 06:45 MYT
'KECUAIAN teruk' dan kurang langkah keselamatan menjadi punca kebakaran yang menyaksikan lebih 100 tetamu maut ketika menghadiri majlis perkahwinan di sebuah dewan di Hamdaniya, Iraq, 26 Sept lalu.
Hasil siasatan itu didedahkan menerusi sidang akhbar oleh Menteri Dalam Negeri Abdul Amir Al-Shammari, pada Ahad.
Katanya, pemilik dewan dan tiga kakitangan lain telah membenarkan 900 orang masuk ke tempat itu apabila ia direka untuk maksimum 400 orang.
Jelasnya, kebakaran yang berlaku pada malam itu tidak disengajakan dan tanpa niat serta terjadi akibat kecuaian yang teruk.
Jelasnya, menggunakan hiasan mudah terbakar menyemarakkan api dengan lebih pantas dan mengubah dewan menjadi seperti bola api.
Tambahnya, kebakaran memerangkap tetamu di dalam dewan perkahwinan dan pasukan penyelamat sukar untuk membantu mereka kerana pintu premis itu kecil dan bilangannya sedikit.
Sekurang-kurangnya 150 orang cedera dalam insiden tersebut, yang berlaku di bandar Kristian Hamdaniya, yang juga dikenali sebagai Qaraqosh, dalam wilayah Nineveh, di timur laut Iraq.
Abdul Amir meletakkan angka kematian pada 107 dan berkata, panel penyiasatan telah mencadangkan bahawa kerajaan perlu menyediakan sokongan kewangan kepada keluarga mangsa yang maut dan cedera.
Siasatan juga membuat syor supaya tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pegawai tempatan.
Khamis lalu, Perdana Menteri Mohammed Shia Al-Sudani melawat mangsa kebakaran di dua hospital tempatan dan berjanji meminta pihak terbabit supaya bertanggungjawab.
Pasukan keselamatan awam tempatan dipetik sebagai berkata, kebakaran pada 26 Sept malam itu berlaku selepas bunga api dinyalakan ketika sambutan majlis berkenaan.