Kecoh tapi lega... Merpati ini terlepas 'hukuman mati' di Australia
Afza Fahmidah
Januari 16, 2021 12:03 MYT
Januari 16, 2021 12:03 MYT
SYDNEY: Seekor burung merpati yang dalam perancangan untuk dihapuskan di Australia selepas disyaki terbang menyeberangi Laut Pasifik terlepas daripada ‘hukuman mati’ itu.
Keputusan itu akhirnya dibuat selepas mendapati tag identiti pada kakinya yang menyatakan ia milik sebuah organisasi burung Amerika Syarikat (AS), dikenal pasti sebagai tag palsu.
Reuters melaporkan, maklumat pada tag itu menyatakan bahawa burung itu telah sesat setelah terlibat dalam acara perlumbaan merpati di Alabama, AS dan telah terbang sejauh lebih 13,000 kilometer ke Melbourne – sekali gus melanggar undang-undang ketat kuarantin Australia yang melarang kemasukan haiwan atau burung hidup.
Terdahulu, satu kempen di Twitter juga dilancarkan untuk menyelamatkan merpati itu, yang diberi nama Joe. Kempen yang berjaya meraih sokongan itu mendesak agar Joe dipulang semula ke AS.
Kesatuan Merpati untuk Perlumbaan Amerika akhirnya mengeluarkan kenyataan bahawa tag identiti pada kaki burung itu adalah palsu.
"Seekor burung merpati yang ditemui di Australia dengan tag identiti palsu tidak perlu dihapuskan atas alasan keselamatan biologi, kerana rumahnya adalah di Australia,” ujar kenyataan itu di Facebook.
Seorang penduduk Melbourne, Kevin Celli-Bird telah menemui merpati itu di halaman rumahnya, pada Boxing Day.
"Jika Joe datang ke sini dengan melanggar semua undang-undang kami, habislah Joe. Sama ada terbang pulang segera atau berdepan akibatnya,” kata Timbalan Perdana Menteri Michael McCormack pada Jumaat.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !