Kecoh di restoran dim sum di Jakarta, dua lelaki diculik

Astro Awani
Februari 21, 2014 14:58 MYT
Seorang pelanggan sebuah restoran dim sum di Jakarta Selatan yang kecewa dengan mutu layanan yang diterimanya bertindak menculik seorang kakitangan restoran itu dengan mengacukan sepucuk pistol.
Lelaki yang dipengaruhi dadah itu kemudiannya menculik seorang lagi lelaki lain dalam drama penculikan yang berlaku sepanjang malam Khamis lepas.
Laman web berita Jakarta Globe melaporkan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Herdi pada mula merungut kepada kakitangan restoran berkenaan bahawa tempat duduk pilihannya telah diambil oleh orang lain.
Dia kemudian mengajak seorang atendan parkir restoran itu ke tempat letak kereta dan selepas itu mengeluarkan sepucuk pistol yang diacukan kepada atendan berkenaan. Lelaki itu kemudian memaksa atendan itu mengikutnya ke kediamannya di Cimanggis, Depok di pinggir Jakarta.
"Dia memesan makanan tetapi dia tidak puas hati dengan layanannya," kata jurucakap polis Jakarta, Senior Komander Rikwanto seperti dipetik oleh Jakarta Globe.
"Dia kemudian mengajak atendan parkir itu naik kereta bersama-sama dengannya."
Herdi kemudian memaksa atendan parkir itu menelefon majikannya untuk datang ke kediamannya. Apabila majikan itu tiba, dia melepaskan dua das tembakan dan kemudian menahan pemilik restoran itu.
Pemilik restoran terbabit kemudian berjaya melepaskan diri dan melaporkan penculikan mereka kepada polis. Akhbar itu bagaimana pun tidak menyatakan bagaimana caranya majikan itu dapat bolos.
"Hasil laporan itu, kami mengintip rumah berkenaan dan melakukan serbuan pada pagi Khamis," kata Rikwanto.
Herdi kemudian ditahan dan bawa ke balai polis.
Dalam serbuan itu, polis menemui sepucuk pistol, 150 butir peluru, dua lopak peluru dan sebuah kotak simpanan senjata. Herdi gagal menunjukkan permit polis bagi pemilikan senjata berkenaan.
Polis juga menemui dua paip menghisap dadah dan dua bag yang dipercayai mengandungi dadah jenis metafetamin. Menurut laporan itu, polis tidak dapat menyoal siasat Herdi kerana dia berada dalam keadaan yang sangat khayal semasa ditahan.
"Kami mengambil contoh air kencing dan darahnya kerana dia dipercayai berada dalam pengaruh dadah," kata Rikwanto.
Jelas beliau, pihaknya masih menunggu hasil ujian makmal dan akan menyiasat lelaki itu apabila dia sudah kembali sedar sepenuhnya.
"Kami masih cuba menentukan motifnya," tambah beliau.
Bagaimanapun, menurut dua lelaki yang ditahan itu, Herdi cuba mengambarkan dirinya sebagai pengunjung tetap restoran berkenaan dan mahu menunjuk kuasa menentukan tempat mana dia hendak duduk.
#culik #Jakarta #Jakarta Globe #restoran Dim Sum
;