AS 'kecewa' Rusia guna kuasa veto halang siasatan serangan senjata kimia di Syria
Bernama
Oktober 25, 2017 16:22 MYT
Oktober 25, 2017 16:22 MYT
Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menyuarakan kekecewaannya dengan tindakan Rusia menggunakan kuasa veto, terhadap deraf resolusi untuk melanjutkan mandat panel yang menyiasat dalang di sebalik serangan senjata kimia di Syria, lapor agensi berita China Xinhua.
"Kami sangat kecewa dengan tindakan Rusia dengan meletakkan apa yang dianggap sebagai pertimbangan politik terhadap rakyat Syria," kata jurucakap Jabatan Negara AS Heather Nauert pada taklimat harian.
Deraf resolusi tajaan AS itu, bertujuan mendapatkan mandat selama setahun lagi, bagi membolehkan Mekanisme Penyiasatan Bersama (JIM) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan panel Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) meneruskan siasatan.
Di kalangan 15 anggota Majlis Keselamatan, Rusia dan Bolivia mengundi menentang langkah itu, sementara China serta Kazakhstan berkecuali manakala 11 lagi bersetuju.
Pada taklimat sama, Nauert berkata, Rusia memberikan gambaran akan menggunakan kuasa vetonya.
Terdahulu, sebelum undian dijalankan, Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia, mencadangkan penangguhan sehingga 7 November, dengan alasan lanjutan mandat perlu dibincangkan, selepas laporan JIM yang dijangka dikeluarkan dalam tempoh dua hari lagi.
Beliau berkata, undian tergesa-gesa seolah bertujuan "mengaibkan" Rusia.
Undi 'tidak' menyokong oleh Rusia yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan, menyaksikan deraf resolusi itu ditolak.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat
#Heather Nauert
#Jabatan Negara AS
#kuasa veto
#Majlis Keselamatan
#Mekanisme Penyiasatan Bersama
#Pertubuhan Bangsa Bersatu
#resolusi
#Rusia
#senjata kimia
#undian
#Vassily Nebenzia