Kecewa dengan Menteri Kesihatan Indonesia, Najwa Shihab 'interview kerusi kosong'
Irwan Muhammad Zain
September 29, 2020 13:24 MYT
September 29, 2020 13:24 MYT
SIKAP membisu Menteri Kesihatan Indonesia, Terawan Agus Putranto dalam menangani pandemik COVID-19 di republik itu membuatkan pengacara terkenal rancangan Mata Najwa, Najwa Shihab mengambil keputusan menemu bual sebuah kerusi kosong.
Tindakan Najwa itu dikatakan kerana beliau dan pihak produksi Mata Najwa kecewa dengan Terawan yang berkali-kali menolak undangan untuk muncul dalam rancangan tersebut.
Mata Najwa edisi 'Menanti Terawan' itu telah mendapat lebih 3 juta tontonan.
Ketika menemu bual kerusi kosong itu, Najwa secara sinis mengatakan menteri kesihatan Indonesia itu merupakan yang paling low profile dalam menangani pandemik COVID-19.
Najwa juga secara sinis mendesak Terawan agar melepaskan jawatannya kerana dianggap gagal menjalankan tugas.
"Yang jelas bukan hanya desakan kepada Presiden, tetapi publik di antaranya lewat petisi meminta kebesaran hati anda untuk mundur saja.
"Siap mundur Pak? Atau bagaimana anda bisa menyakinkan rakyat yang anda masih boleh menjalankan atau menduduki posisi yang berat ini?" soal Najwa.
Biarpun telah berkali-kali mengundang Terawan, namun Najwa tetap mahu menteri kesihatan Indonesia itu muncul di kaca televisyen untuk menjelaskan situasi terkini COVID-19 di negara itu.
Sebelum mengakhiri rancangan itu, dengan tegas Najwa mencabar Terawan menyatakan bila dan di mana beliau sedia ditemu bual.
"Kami tahu takkan ada yang boleh menyelesaikan persoalan pandemik ini sendirian, tapi kami berharap anda setidaknya bersedia untuk memberi gambaran.
"Menteri Kesihatan, Terawan Agus Putranto, waktu dan tempat dipersilakan," katanya.
Angka kematian akibat pandemik COVID-19 kini mencecah angka 1 juta.
Statistik John Hopkins University mendedahkan jumlah kumulatif kematian global akibat penyakit itu kini melebihi 1,000,555 orang.
Indonesia menjadi antara negara tertinggi mencatatkan kes korban COVID-19 dengan 10,473 kes dan kini di tangga ke-17 korban dunia.