'Kecewa dengan golongan dewasa', pelajar sekolah AS rancang demonstrasi

Agensi
Februari 19, 2018 05:03 MYT
Pelajar sekolah bersama ibu bapa mereka mengadakan demonstrasi bagi mendesak kawalan dan pemilikan senjata api diketatkan, di Coral Springs, Florida, AS pada Feb 18 2018. - REUTERS
Susulan kejadian tembakan rambang di sebuah sekolah di Florida, Amerika Syarikat (AS), pelajar sekolah di seluruh negara itu berkumpul pada Ahad untuk mendesak undang-undang senjata api diketatkan.
Seorang pelajar sekolah di Marjory Stoneman Douglas High School, Parkland, Emma Gonzalez, memberitahu, para pelajar merancang untuk mengadakan demonstrasi di Washington bulan depan kerana "golongan dewasa telah mengecewakan mereka".
Gonzalez merupakan antara pelajar sekolah Marjory Stoneman Douglas High School yang terselamat daripada insiden Feb 14 itu.
"Sepatutnya mereka (pemimpin) yang dipilih harus berkhidmat untuk kami, tetapi sekarang kami pula yang perlu berkhidmat untuk mereka. Dan perkara ini sangat menyedihkan," jelasnya.
Menggunakan kuasa media sosial, pelajar sekolah itu termasuk pelajar lain di seluruh AS, kini merancang mengadakan perarakan di Washington.
Perhimpunan itu bagi membuka mata golongan dewasa yang gagal melindungi keselamatan golongan kanak-kanak.
Kejadian tembakan rambang di Marjory Stoneman Douglas High School minggu lepas telah membangkitkan sekali lagi isu kawalan dan pemilikan senjata di AS.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #pelajar sekolah #perhimpunan awam #senjata api #tembakan di Florida #undang-undang #Washington