Kecemasan! Khemah pelarian musnah akibat salji, bantuan diperlukan
Afiezy Azaman
Januari 25, 2022 15:31 MYT
Januari 25, 2022 15:31 MYT
AZAZZ, SYRIA: Musim sejuk dengan salji tebal memusnahkan ratusan khemah pelarian di sekitar Azazz sejak beberapa minggu lalu.
Ratusan keluarga pelarian memerlukan penempatan semula dan khemah baharu untuk menempuh musim
sejuk yang dijangka berakhir pertengahan Februari.
Tinjauan Astro AWANI di beberapa kem pelarian sekitar Azazz mendapati baju sejuk, alat pemanas, selimut dan arang antara keperluan mendesak ketika musim sejuk yang digambarkan sebagai antara yang terburuk pernah melanda di utara Syria.
Salji tebal, hujan dan angin sejuk menambah derita pelarian yang telah terhimpit dengan konflik perang dan krisis ekonomi di negara bergolak ini.
Antara perkara penting perlu dilakukan adalah menempatkan semula pelarian di kawasan selamat, membersihkan jalan-jalan menghubungkan khemah-khemah, keperluan makanan dan harian.
Menurut Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), seorang kanak-kanak maut dan ibunya parah selepas khemah didiami mereka runtuh akibat salji tebal malah di kem pelarian Zaghrura, Jarablus bayi lelaki maut akibat hiportermia.
Ramai pelarian terutamanya kanak-kanak jatuh sakit kerana tidak mempunyai mempunyai baju sejuk yang lengkap malah ada yang hanya memakai selipar apabila keluar dari khemah.
Menurut badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia For Syria (MFS), sebanyak RM50,000 diperlukan untuk membeli khemah baharu dan bantuan perubatan untuk pelarian.
Sehubungan itu, Pengurusnya, Nur Fareezah Bahar menyeru sokongan berterusan untuk memenuhi keperluan kemanusiaan jutaan rakyat Syria yang menjadi pelarian terutamanya di sekitar utara negara itu.
Layari pautan ini untuk bantu meringankan beban mereka: https://infaksyria.com/donations/musim-sejuk/