AS kecam tindakan Korea Utara lancar peluru berpandu

Astro Awani
September 15, 2021 06:58 MYT
Ned Price berkata, pendekatan diplomasi akan mengurangkan ancaman terhadap sekutu Amerika Syarikat di rantau berkenaan. - Foto Andrew Harnik/Pool via REUTERS
WASHINGTON: Amerika Syarikat mengecam pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara (DPRK) awal minggu.
Pelancaran peluru berpandu itu juga didakwa melanggar beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menimbulkan ancaman terhadap negara jiran serta komuniti antarabangsa.
Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price berkata, pendekatan diplomasi akan mengurangkan ancaman terhadap sekutu Amerika Syarikat di rantau berkenaan.
"Kami mengutuk pelancaran peluru berpandu DPRK. Pelancaran peluru berpandu ini melanggar beberapa ketetapan Majlis Keselamatan PBB dan kita tahu ia menimbulkan ancaman kepada jiran DPRK dan anggota masyarakat antarabangsa yang lain.
"Kami komited untuk menggunakan pendekatan diplomatik terhadap DPRK dan kami meminta DPRK untuk terlibat dalam dialog yang bermakna dengan kami," katanya.
Kata Price, Amerika Syarikat tidak mempunyai niat memusuhi DPRK dan apa yang mereka ingin lakukan adalah mengurangkan ancaman terhadap negaranya serta negara sekutu kita di rantau berkenaan Korea Selatan dan Jepun.
Pada 13 September, Korea Utara umum mereka berjaya menguji peluru berpandu jarak jauh baharu dalam satu pengumuman.
BACA: Korea Utara umum uji peluru berpandu jarak jauh
BACA: Aktiviti ketenteraan Pyongyang ancam masyarakat antarabangsa - Pentagon
Peluru berpandu itu terbang selama lebih 7,500 saat atau sekitar 2 jam di atas ruang udara Korea Utara dan mengenai sasaran pada jarak 1,500 kilometer.
#Korea Utara #Amerika Syarikat #peluru berpandu #Majlis Keselamatan PBB
;