Kebankrapan di Jepun meningkat ke tahap tertinggi dalam sedekad - Tinjauan

Bernama
Julai 21, 2024 17:15 MYT
Jumlah keseluruhan kebankrapan dari Januari hingga Jun mencecah 4,887, tertinggi sejak 2014. - Gambar hiasan/ Reuters
TOKYO: Kebankrapan korporat di Jepun meningkat sebanyak 22 peratus tahun ke tahun ke tahap tertinggi dalam sedekad pada separuh pertama tahun ini akibat kenaikan kos, kekurangan tenaga kerja dan sokongan kewangan yang merosot, menurut tinjauan terkini oleh sebuah syarikat penyelidikan kredit, lapor Xinhua.
Jumlah keseluruhan kebankrapan dari Januari hingga Jun mencecah 4,887, tertinggi sejak 2014, menurut laporan dalam talian terbaharu Teikoku Databank Jepun.
Mengikut industri, industri perkhidmatan mencatat jumlah tertinggi dengan 1,228, diikuti runcit dengan 1,029 dan pembinaan dengan 917, menurut laporan data itu.
Perusahaan kecil dan mikro adalah yang paling terjejas dalam tempoh berkenaan, apabila pinjaman "zero-zero", atau pinjaman tanpa faedah dan tanpa cagaran yang disediakan oleh institusi kewangan sektor swasta dan berkaitan kerajaan untuk menangani impak pandemik COVID-19, telah ditarik balik.
Lanskap ekonomi semakin rumit dengan penurunan nilai yen yang berterusan, di tengah-tengah kos yang melambung tinggi dan kekurangan tenaga kerja yang semakin meningkat.
Teikoku meramalkan bahawa selain daripada penggunaan peribadi yang tidak memberangsangkan, jumlah kebankrapan korporat dijangka meningkat lebih lanjut, mungkin melebihi 10,000 sepanjang tahun 2024.
Pada bulan Jun sahaja, sejumlah 807 syarikat Jepun memulakan prosiding undang-undang penggulungan, menandakan bulan ke-26 berturut-turut pertumbuhan tahun ke tahun, menurut laporan itu.
-- BERNAMA
#Jepun #kes bankrap #golongan muda #hutang
;