Kebangkitan China: Malaysia perlu beri penekanan terhadap tiga faktor utama

Nursyazwani Saiful Sham
Mac 23, 2022 11:40 MYT
Penakanan urusan hubungan diplomatik juga melihat kepada kepentingan nasional termasuk pekembangan ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang memerlukan China. - Foto fail
KUALA LUMPUR : Tiga kepentingan utama perlu Malaysia beri penekanan ketika ini susulan kebangkitan China yang dijangka akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi terbesar pada tahun 2028.
Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berpendapat, tiga kepentingan tersebut iaitu ekonomi, keselamatan dan nilai perlu dipandang serius demi kesejahteraan bersama.
"Apa yang perlu kita melihat China sebagai kawan atau lawan adalah kita lebih melihat kepada tiga kepentingan utama termasuk ekonomi, keselamatan dan nilai sama ada terdapat pertembungan yang boleh menjejaskan kesejahteraan bersama dengan negara tersebut.
"Dari aspek tersebut, China merupakan negara berkuasa besar dan kita tidak boleh menyekat China kerana republik itu akan tersebut berkembang dan menjadi salah satu kuasa ekonomi terbesar.
"Kita tidak patut kategorikan China sebagai kawan atau lawan, bahkan Malaysia dan China perlu terus memperkukuhkan hubungan dua hala yang mendatangkan manfaat secara bersama" katanya dalam AWANI Pagi yang membincangkan topik "Kebangkatan China: Kawan atau Lawan?" pada Rabu.
AWANI Pagi: "Kebangkatan China: Kawan atau Lawan?"
Malah jelasnya, penakanan urusan hubungan diplomatik juga melihat kepada kepentingan nasional termasuk pekembangan ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang memerlukan China.
Pada masa sama hubungan dengan negara kuasa besar lain seperti Amerika Syarikat juga perlu diimbangi demi kepentingan bersama.
Oleh kerana hubungan diplomatik yang baik, ujar Syed Hamid, terdapat ruang untuk kedua-dua negara berbincang dan menyampaikan pendapat masing-masing.
"Walaupun kita (Malaysia) rapat dengan China, kita jangan ketepikan kuasa besar yang boleh mengimbangi China iaitu Amerika Syarikat memandangkan negara kita negara kecil.
"Malaysia perlu pandai untuk imbangkan demi kepentingan kita contohnya apabila kita berdepan dengan krisis kewangan satu masa dahulu.
"Pada masa sama, kita juga memerlukan hubungan baik itu untuk meningkatkan beberapa bidang yang perlu kita teliti terutamanya pengangkutan awam," katanya.
Pada asasnya, Syed Hamid menjelaskan setakat ini hubungan anatar Malaysia dan China adalah baik namun beberapa isu antarabangsa perlu diberi penekanan.
#Amerika Syarikat #China #Hubungan dua hala #Malaysia #Tan Sri Syed Hamid Albar
;