Kebakaran hutan: Usaha pemadaman api di Greece, Bolivia dipergiat
Astro Awani
Ogos 11, 2021 09:51 MYT
Ogos 11, 2021 09:51 MYT
BEBERAPA negara masih bergelut dengan isu kebakaran hutan berskala besar, antaranya termasuk Greece dan Bolivia.
Pada Selasa, anggota bomba Ukraine bergabung tenaga dengan bersama pasukan Greece dalam memerangi kebakaran di utara Evia.
Dilaporkan, 900 anggota bomba, 50 pasukan darat dan lebih 200 kenderaan sedang berusaha memadamkan kebakaran yang meletus sejak 3 Ogos lalu.
Bantuan antarabangsa itu dihulurkan selepas dilaporkan 121,000 ekar kawasan di Evia musnah, difahamkan terkesan dengan api marak ini.
Beberapa kebakaran hutan lain turut dilaporkan di negara itu dengan yang paling terjejas di wilayah Peloponnese Selatan.
Di Bolivia, pihak berkuasa menyatakan, lebih 150,000 ekar kawasan terjejas dengan kebakaran di wilayah Santa Cruz, timur La Paz.
Bandar Robore dan San Matias berhampiran sempadan Brazil paling banyak terjejas.
Bandar Robore diisytihar darurat selepas kebakaran itu berlarutan sehingga hari ke-10.
Santa Cruz adalah kawasan pertanian di Bolivia dan sudah menjadi wilayah yang paling terjejas dengan COVID-19.
Dua tahun lalu, wilayah itu turut menyaksikan kebakaran serius dengan lebih 12 juta ekar kawasan tanah tinggi terbakar.