Kebakaran hutan Tenerife, Sepanyol makin marak di luar kawalan
Astro Awani
Ogos 21, 2023 09:15 MYT
Ogos 21, 2023 09:15 MYT
TENERIFE: Kebakaran hutan di Tenerife, Sepanyol semakin marak dan kini di luar kawalan walaupun pihak bomba bertungkus lumus memadamkan api selama empat hari.
Agensi berita Jerman dpa melaporkan, setakat ini, kebakaran hutan itu memusnahkan kira-kira 8,400 hektar tanah, iaitu lonjakan yang besar sejak kali terakhir ia direkodkan.
Ketua wilayah Kepulauan Canary Fernando Clavijo, berkata, di sebalik perkembangan itu, keseluruhan bahagian selatan kebakaran tersebut sangat stabil walaupun di kawasan utara, kebakaran masih menjadi kebimbangan besar.
Pemimpin itu pada masa sama menyifatkan kebakaran tersebut antara yang paling teruk di Tenerife dalam tempoh 40 tahun lalu.
Menurut anggaran pihak berkuasa, lebih 12,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka di 11 bandar berbeza akibat kebakaran di utara dan timur laut pulau itu.
Pada awalnya, pihak berkuasa menganggarkan 26,000 orang berpindah dari rumah mereka pada Sabtu tetapi jumlah itu menurun setelah disemak semula.
Pihak berkuasa menambah, tiada kecederaan atau kemusnahan rumah dilaporkan.
Maklumat rasmi pula menyebut, kehidupan kebanyakan penduduk di kawasan pulau pelancongan itu diteruskan seperti biasa.
Punca kebakaran yang berlaku berhampiran bandar kecil Arafo masih belum jelas sehingga kini.
Bagaimanapun, Clavijo berkata, siasatan sudah dimulakan bagi menyiasat punca sebenar yang membawa kepada insiden kebakaran itu.