Kebakaran hutan: Penumpang nekad lompat keluar dari kereta api
Bernama
Ogos 17, 2022 22:22 MYT
Ogos 17, 2022 22:22 MYT
OVIEDO (Sepanyol): Ramai penumpang dilaporkan melecur selepas bertindak melarikan diri daripada kereta api penumpang yang cuba melintasi hutan yang terbakar di wilayah Sepanyol, Valencia pada petang Selasa.
Kereta api itu, berlepas dari bandar Valencia menuju ke Zaragoza, bertembung dengan kebakaran hutan Bejis, yang di luar kawalan disusuli angin kencang.
Syarikat kereta api milik kerajaan, Renfe, memaklumkan kereta api itu berhenti selepas melihat kebakaran itu, lapor Agensi Anadolu.
Sebilangan penumpang yang panik memutuskan untuk melarikan diri dan bertindak memecahkan cermin tingkap, selepas melihat kereta api dikelilingi api, Renfe memaklumkan akhbar harian Sepanyol Europapress.
Ramai penumpang melecur teruk meskipun ada yang berjaya menyelamatkan diri kembali ke stesen dan gerabak kereta api.
Seorang wanita berusia 58 tahun dan seorang remaja perempuan antara tiga mangsa yang melecur teruk dan kini sedang dirawat di hospital.
Kereta api itu dikatakan berundur semula ke stesen Caudiel di wilayah Castellon.
Pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat kejadian itu.
-- BERNAMA