Kebakaran hutan paksa lebih 30,000 penduduk dipindahkan di Greece

Bernama
Ogos 12, 2024 19:30 MYT
Pasukan bomba berusaha untuk mengawal kebakaran yang meliputi beberapa kilometer di wilayah timur laut Attica. - Gambar/ Reuters
ATHENS: Pihak berkuasa Greece pada Ahad mengarahkan lebih 30,000 penduduk di bandar Marathon di wilayah timur laut Attica dipindahkan berikutan kebakaran hutan yang merebak dengan cepat akibat cuaca panas dan berangin, lapor Xinhua.
Menurut Kementerian Krisis Iklim dan Perlindungan Awam, penduduk diarahkan berpindah ke bandar pantai berdekatan Nea Makri, selepas enam lagi penempatan di kawasan itu dipindahkan lebih awal.
Kemudahan Pusat Atletik Olimpik Athens -- venue utama Sukan Olimpik Athens 2004, kira-kira 30 km dari Marathon -- dibuka untuk menempatkan ramai daripada mangsa yang dipindahkan semalaman, menurut laporan penyiar Greece, ERT.
Maklumat terkini yang diberikan oleh pegawai kementerian kesihatan memaklumkan seramai lapan orang dipindahkan ke hospital dengan masalah pernafasan.
Sementara itu, anggota bomba berusaha untuk mengawal kebakaran yang meliputi beberapa kilometer di wilayah timur laut Attica.
Kebakaran itu berlaku kira-kira 3 petang waktu tempatan (1200 GMT) Ahad di Varnavas, kira-kira 35 km dari Athens dengan kepulan asap tebal kebakaran telah meliputi sebahagian besar Athens.
Asap itu juga telah mencapai sejauh kira-kira 100 km dari Varnavas, sebuah kawasan penempatan berhampiran Marathon, disebabkan oleh angin kencang yang mencapai sehingga lapan pada skala Beaufort, menurut ahli meteorologi Greece.
Jurucakap bomba Vassilis Vathrakogiannis dalam sidang media di Athens memaklumkan kira-kira 400 anggota bomba dengan sokongan 29 pesawat dan helikopter pemadam kebakaran, 110 jentera bomba, pasukan tentera dan ramai sukarelawan terbabit dalam usaha mengawal kebakaran itu.
Menurut pasukan bomba, satu lagi kebakaran besar yang berlaku lebih awal pada Ahad berhampiran bandar Megara di barat Attica telah berjaya dikawal.
--BERNAMA-XINHUA
#kebakaran hutan #Greece #Athens #bilangan mangsa
;