Kebakaran hutan musnah 577 hektar taman negara di Argentina

Bernama
Januari 28, 2024 17:35 MYT
Risiko kebakaran berada pada tahap ekstrem dan keadaan cuaca agak buruk untuk usaha memadamkan kebakaran. - @Andyultratrail
BUENOS AIRES: Kebakaran hutan yang masih tidak terkawal pada Sabtu setakat ini telah memusnahkan sebanyak 577 hektar Taman Negara Los Alerces di selatan Argentina, lapor Xinhua memetik media tempatan.
Ketua jabatan bomba, komunikasi dan kecemasan Taman Negara Los Alerces, Mario Cardenas berkata kebakaran itu menjejaskan kawasan berhampiran sungai Centinela di taman negara berkenaan, lapor Agensi Berita Telam.
Cardenas berkata bahawa risiko kebakaran berada pada "tahap ekstrem" dan keadaan cuaca "agak buruk" untuk memadam kebakaran akibat angin dan suhu tinggi.
Taman Negara Los Alerces diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2017.
--BERNAMA-XINHUA
TAG: Argentina, kebakaran hutan, taman negara Los Alerces
#Taman Negara #hutan terbakar #Argentina #Unesco #tapak warisan
;