Kebakaran hutan meningkat, Indonesia umum status darurat di wilayah Riau

Agensi
Mac 8, 2016 17:50 MYT
Pada tahun lalu, wilayah Riau antara yang paling teruk terjejas berikutan masalah kebakaran hutan. - Foto AFP
Wilayah Riau di Sumatera, Indonesia telah mengeluarkan status darurat akibat kebakaran hutan dan tanah gambut, lapor pegawai rasmi republik itu seperti yang dilapor Reuters.
“Gabenor Riau telah mengumumkan keadaan darurat sekarang ini, supaya dapat menghindari dan menangani kesan jerebu yang teruk seperti tahun 2015,” ujar jurucakap pemerintah wilayah, Darusman.
Tambahnya, kehidupan penduduk di wilayah yang diumumkan darurat itu masih dalam keadaan normal.
Kira-kira 500 anggota tentera dan helikopter yang membawa bom air telah dikerahkan ke titik panas untuk membantu mengawal kebakaran, namun asap masih belum sampai ke kawasan bandar.
Masalah seumpamanya sering dimulakan di ladang-ladang pertanian dan pengusaha kebun kecil-kecilan yang mempraktikkan cara membakar bagi membersihkan kawasan penanaman.
Pada tahun 2015, masalah itu menjadi begitu teruk kerana dipengaruhi faktor panas kering yang dibawa fenomena El Nino.
Presiden Indonesia Joko Widodo telah mendesak pihak berkuasa supaya bertindak di titik-titik panas.
Tahun ini sahaja, sebuah agensi telah ditubuhkan untuk memulihkan kawasan tanah gambut seluas 2 juta hektar yang selalunya menghasilkan banyak asap jerebu berbanding kebakaran.
Pada tahun lalu, usaha Indonesia dan beberapa negara jiran untuk melawan kebakaran itu tidak membuahkan hasil pantas, sebaliknya masih bergtantung kepada kedatangan musim hujan.
Kebakaran di negara itu sering menjadi punca masalah jerebu di Asia Tenggara setiap tahun, berikutan keupayaannya merebak tanpa kawalan merentasi beberapa wilayah tahun lalu.
Dalam bencana jerebu tahun lalu, dianggarkan nilai kerugian mencecah AS$16 bilion (RM65 bilion) malah secara perbandingan telah membebaskan kadar harian gas rumah hijau yang lebih tinggi daripada Amerika Syarikat.
#Indonesia umum darurat di Riau #jerebu #kebakaran hutan di Riau #perintah darurat #punca masalah jerebu
;