Kebakaran hutan: Empat wilayah di Indonesia berstatus amaran bencana
Agensi
Februari 22, 2018 17:12 MYT
Februari 22, 2018 17:12 MYT
Wilayah Riau, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah di Indonesia kini diletak di bawah amaran bencana selepas peningkatan titik panas atau hotspot di situ yang berpunca daripada kebakaran hutan.
Ini disahkan oleh jurucakap Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB), Dr Sutopo Purwo Nugroho.
Beliau menjelaskan, status amaran bencana ini akan memudahkan urusan kerajaan untuk menyediakan logistik, menetapkan kawasan yang berbahaya, menyediakan bantuan tentera serta dana kepada mangsa.
"Sejak minggu lepas, titik panas semakin meningkat terutamanya di Kalimantan Barat. Sementara itu, wilayah Pontianak kini diliputi jerebu," beliau dilaporkan berkata.
Berdasarkan imej satelit, sejak Rabu semalam jam 7 pagi, terdapat 78 titik panas dikenal pasti di seluruh Indonesia, dengan 23 daripadanya di Kalimantan Barat.
Pihak BNPB sedang menggiatkan usaha bagi mengawal kebakaran hutan dengan menyediakan helikopter untuk melepaskan air ke hutan dan bersedia untuk proses pembenihan awan.
Awal bulan ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo, menggesa pihak berkuasa untuk melindungi tanah dan hutan daripada dibakar bagi memastikan Sukan Asia 2018 berjalan dengan lancar yang menyaksikan negara itu sebagai tuan rumah.
Sukan Asia 2018 dijadualkan bermula pada 18 Ogos di Jakarta dan Palembang.
#Indonesia
#Jakarta
#jerebu
#Joko Widodo
#Kalimantan
#kebakaran hutan
#Riau
#Sukan Asia 2018
#Sumatera