Kebakaran hutan di Turkiye, penduduk diarah pindah

Bernama
Jun 30, 2024 11:45 MYT
Kebakaran hutan itu berpunca dari daerah Menderes, Selcuk dan Cesme. - Gambar/ AP
ISTANBUL: Kebakaran hutan pada Sabtu membabitkan tiga lokasi di wilayah barat Turkiye, Izmir menyebabkan beberapa kawasan kediaman terpaksa dikosongkan.
Menurut Xinhua memetik penyiar TRT milik kerajaan, kebakaran itu berpunca dari daerah Menderes, Selcuk dan Cesme.
Anggota bomba sedang giat memadam kebakaran dengan menggunakan kaedah udara dan darat.
TRT melaporkan bahawa seluruh kejiranan Camonu dan beberapa rumah di kawasan hutan Menderes telah dikosongkan.
Sementara itu, kebakaran di kawasan berumput menyebabkan penutupan sementara lebuh raya yang menghubungkan Izmir ke pusat peranginan popular di Cesme.
Kebakaran juga menimbulkan ancaman kepada Selcuk yang terkenal dengan bandar purba Ephesus, antara destinasi pelancongan yang paling popular di Turkiye.
Kementerian Pertahanan Negara mengumumkan di platform X bahawa tiga helikopter jenis Cougar dan dua helikopter jenis CH-47 milik angkatan tentera dikerah bagi menyokong usaha memadam kebakaran di Izmir.
-- BERNAMA
#kebakaran hutan #Turkiye #perumahan #pemindahan penduduk
;