Kebakaran hutan di Hawaii: 1,100 penduduk masih belum dapat dikesan
Bernama
Ogos 23, 2023 19:00 MYT
Ogos 23, 2023 19:00 MYT
MOSCOW: Seramai 1,100 orang masih hilang dalam kebakaran hutan luar biasa yang melanda Pulau Maui di Hawaii baru-baru ini, lapor Sputnik memetik pihak berkuasa.
"Antara 1,000 dan 1,100 individu masih tidak dapat dikesan, manakala lebih 1,400 lagi yang pada asalnya dilaporkan hilang telah ditemukan selamat," kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan keluarga mangsa yang hilang untuk mengumpul sampel DNA bagi memudahkan proses pengecaman.
Sementara itu, pendakwa negeri Andrew Martin berkata pihaknya akan memastikan bahawa pemberian sampel DNA itu hanya akan digunakan untuk tujuan pengecaman.
Pada Isnin, Datuk Bandar Maui County Richard Bissen berkata sekurang-kurangnya 114 orang maut dan kira-kira 850 lagi hilang dalam kebakaran hutan itu.
Kebakaran itu berlaku akibat cuaca kering dan panas yang diburukkan lagi dengan angin kencang yang dicetuskan oleh Taufan Dora.
Beberapa penempatan, termasuk bandar pelancongan terkenal, Lahaina, musnah dalam kejadian itu.
-- BERNAMA