Kebakaran hutan di Evros, Greece diisytihar terbesar dalam 20 tahun
Bernama
Ogos 25, 2023 11:50 MYT
Ogos 25, 2023 11:50 MYT
ATHENS: Kebakaran hutan yang berlaku pada Sabtu lepas di wilayah Evros timur laut Greece adalah yang terbesar di negara itu dalam dua dekad lalu, kata Balai Cerap Nasional Athens pada Khamis.
Mengulas mengenai data disediakan oleh perkhidmatan pemetaan Copernicus Suruhanjaya Eropah, balai cerap itu berkata 292,587 hektar kawasan hutan telah terbakar menjadi abu akibat kebakaran hutan di kawasan Alexandroupolis dan Dadia di wilayah itu setakat tengah hari 23 Ogos.
Tambahnya, 1.7 juta hektar kawasan hutan telah terbakar dalam 16 kebakaran hutan mega di negara itu sejak 2007, dengan kebakaran di Evros adalah yang terbesar, lapor Agensi Anadolu.
Pesuruhjaya Eropah bagi Pengurusan Krisis Janez Lenarcic berkata di platform media sosial X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, kebakaran hutan di Alexandroupolis adalah yang terbesar yang pernah dihadapi Kesatuan Eropah.
"Kita mesti terus memperkukuh usaha pencegahan dan kesiapsiagaan nasional dan kolektif bagi menghadapi musim kebakaran yang lebih ganas," tambahnya.
Kebakaran hutan di Greece, didorong oleh angin kencang dan suhu tinggi, sedang marak untuk hari keenam.
-- BERNAMA