Kebakaran hutan di California: Jumlah korban meningkat kepada 10
Bernama
Januari 10, 2025 19:03 MYT
Januari 10, 2025 19:03 MYT
WASHINGTON: Jumlah korban akibat kebakaran hutan terburuk dalam sejarah California terus meningkat, dengan Pejabat Pemeriksa Perubatan Los Angeles melaporkan bahawa 10 orang maut setakat ini, lapor United Press International (UPI).
Pejabat itu dimaklumkan mengenai 10 kematian setakat 9 malam Waktu Pasifik pada Khamis.
Bagaimanapun, proses pengecaman mungkin mengambil masa beberapa minggu kerana kesukaran mencapai lokasi akibat kebakaran.
"Pejabat Pemeriksa Perubatan memahami kepentingan mengenal pasti mangsa kebakaran hutan dan sedang berusaha keras sambil mematuhi protokol keselamatan demi menyediakan maklumat kepada ahli keluarga secepat mungkin," menurut kenyataan pejabat itu.
Jumlah korban sebelum ini dilaporkan seramai lima orang.
Lima kebakaran terus marak pada awal Jumaat di Los Angeles dan Ventura, merangkumi puluhan ribu ekar.
Arahan pemindahan dikeluarkan melibatkan lebih 180,000 penduduk, manakala amaran pemindahan kekal berkuat kuasa di beberapa kawasan berhampiran.
Rakaman dalam talian menunjukkan kawasan terbabit musnah dan rosak, termasuk di kawasan elit yang menjadi kediaman selebriti.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Kebakaran "Palisades", dengan hampir 20,000 ekar terbakar telah memusnahkan lebih 5,000 struktur, manakala 13,300 lagi terancam, menurut kemas kini Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire) pada malam Khamis.
Kebakaran "Eaton", yang kedua terbesar membabitkan 13,690 ekar, memusnahkan sekurang-kurangnya 4,000 struktur dan meragut dua nyawa, menurut Cal Fire. Ia juga bermula pada Selasa dan masih tidak terkawal.
Kebakaran "Kenneth" , "Hurst" dan "Lidia" pula lebih kecil dengan keluasan kurang daripada 1,000 ekar.
Seramai 400 anggota bomba akan terus berada di lokasi semalaman untuk melindungi struktur dan memadamkan kebakaran, menurut kenyataan jabatan itu.
Bagi menghalang aktiviti jenayah, Jabatan Sheriff Los Angeles County merancang melaksanakan perintah berkurung dari 6 pagi hingga 6 petang di kawasan sekitar kebakaran "Palisades" dan "Eaton".
Sekurang-kurangnya 20 pencuri ditahan dan pihak berkuasa meminta bantuan Pengawal Kebangsaan Negeri untuk menyokong penguatkuasaan undang-undang tempatan.
"Kita mesti menentang mereka yang ingin mengambil kesempatan daripada mangsa. Los Angeles County tidak akan membiarkan tragedi ini menjadi lebih buruk," kata Pengerusi Lembaga Penyelia, Kathryn Barger dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA