Kebakaran hutan Australia: Langit bertukar merah darah di Mallacoota
Agensi
Januari 4, 2020 21:16 MYT
Januari 4, 2020 21:16 MYT
SUSULAN kebakaran hutan yang semakin buruk di Australia, langit di Mallacoota dilihat berwarna merah darah.
Setakat ini, pasukan tentera telah memindahkan lebih 4,000 penduduk di daerah tersebut bagi mengelakkan sebarang risiko.
Dengan keadaan asap tebal yang menyelubungi daerah itu, pasukan tentara terpaksa menggunakan kawasan perairan untuk memindahkan penduduk.
Bagaimanapun, dikhuatiri masih terdapat beberapa penduduk yang terperangkap di daerah itu.
Dalam perkembangan berkaitan, ketika ini anggota bomba masih bertungkus lumus memadamkan kebakaran di bandar Numbungga, New South Wales.
Laporan sebelum ini menyebut 3,000 anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran.
Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian khuatir angin kencang bakal memburukkan situasi kebakaran hutan di negeri tersebut.
“Saya boleh mengatakan bahawa suhu sudah mencecah 40 darjah Celcius yang juga akibat dari angin kencang yang memburukkan lagi keadaan.
“Ini juga bermakna daerah selatan juga berlaku perubahan cuaca yang memburukkan lagi keadaan semasa. Kami berdepan malam yang panjang. Kami bersedia menghadapinya,” jelasnya.
Tragedi ini turut mencatatkan jumlah tertinggi mangsa yang terpaksa berpindah.
Setakat ini 148 titik panas dicatatkan di New South Wales sementara 12 diisytiharkan dalam keadaan bahaya.
Kebakaran hutan yang berlaku di Australia telah mencecah 5 juta hektar yang turut memusnahkan 1,500 rumah dan menyebabkan 23 dilaporkan meninggal dunia.