Kebakaran di tapak pembuangan sisa di Kochi jejas kesihatan penduduk

Bernama
Mac 10, 2023 19:46 MYT
Kebakaran tercetus di tapak itu pada 2 Mac dan berlanjutan selama beberapa hari. -Reuters
NEW DELHI: Kebakaran di tapak pembuangan sisa di bandar Kochi selatan India menimbulkan kesan serius terhadap kesihatan penduduk di sekitar bandar pelabuhan utama itu.
Menurut laporan media tempatan, kebakaran tercetus di tapak itu pada 2 Mac dan berlanjutan selama beberapa hari.
Jabatan bomba Kerala dibantu tentera laut dan helikopter tentera udara India berusaha memadamkan kebakaran di tapak sisa Brahmapuram.
Walaupun kebakaran berjaya dikawal, ia telah mengakibatkan pencemaran toksik dan asap telah merebak dalam radius 30 kilometer, lapor akhbar Hindustan Times.
Ramai penduduk setempat mengadu mengalami kesukaran bernafas selepas kejadian itu.
Jumlah individu yang mendapatkan rawatan untuk penyakit berkaitan paru-paru telah meningkat sejak kebakaran melanda, menurut laporan media.
Pengurusan sisa bandar secara sistematik kekal menjadi cabaran utama untuk bandar-bandar di India.
-- BERNAMA
#India #pencemaran toksik #tapak pembuangan sisa #kochi
;