Kebakaran di pusat pengedaran Sainsbury, London
Kohilah Sekaran
Mei 19, 2015 17:06 MYT
Mei 19, 2015 17:06 MYT
Satu kebakaran besar telah berlaku di Pusat Pengedaran Sainsbury di London, hari ini, lapor Metro.UK.
Susulan kejadian, banyak rakaman dan gambar dari lokasi kejadian di Lombard Wall, Charlton, membanjiri media sosial hari ini.
Beberapa buah lori dilihat terbakar dalam kebakaran yang merebak ke kawasan penghantaran gudang. Letupan kuat juga turut kedengaran.
Menurut ahli bomba London, sejurus selepas mereka menerima panggilan kecemasan, sebanyak 70 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk mengawal situasi.
Memetik laporan Metro.UK, jurucakap pihak bomba menasihati pusat perniagaan dan penduduk di sekitar kawasan itu untuk menutup pintu dan tingkap sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kepulan asap tebal hitam daripada kebakaran itu.
Pihak bomba dan polis dari Greenwich, New Cross, Deptford, Plumstead, Lea Green, Poplar dan balai bomba Shadwell dilaporkan berada di tempat kejadian untuk membantu memadamkan api dan menolong mangsa kebakaran.
Mangsa kebakaran juga dikejar ke hospital untuk rawatan lanjut dan tiada kematian dilaporkan setakat kini.
Namun, punca kebakaran masih belum dikenal pasti.
Sainsbury merupakan rangkaian pasar raya kedua terbesar di United Kingdom dengan sumbangan sektor pasar raya UK sebanyak 16.9%.
Ditubuhkan pada tahun 1869 oleh John James Sainsbury dengan sebuah kedai di Drury Lane, London, syarikat ini menjadi peruncit terbesar di United Kingdom pada tahun 1922, yang kemudian dikalahkan oleh pasar raya Tesco pada tahun 1995.
Difahamkan, pusat pengedaran Sainsbury mempunyai beberapa cawangan di London termasuk di Chalton, West Sussex.