Kebakaran di Maui: Pengurusan bencana dipersoal selepas angka korban mencecah 89

Bernama
Ogos 13, 2023 17:08 MYT
Kerja-kerja menyelamat bertambah rumit apabila bandar kecil Lahaina di utara dan selatan hanya boleh dicapai melalui satu laluan masuk. - Foto/REUTERS
NEW YORK: Kebakaran hutan di pulau Maui Hawaii telah mengorbankan 89 nyawa, manakala lebih ramai lagi dikhuatiri maut, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik pihak berkuasa tempatan.
Persoalan juga timbul mengenai adakah pihak berkuasa gagal bertindak balas dengan lebih baik terhadap antara kebakaran terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat.
Peluncur profesional Kai Lenny menerusi hantaran di Instagram mendakwa kekurangan kelulusan kerajaan telah memperlahankan penghantaran bantuan, walaupun penerbangan penghantaran ubat-ubatan kemudiannya diluluskan.
Lenny berkata, dia sendiri terpaksa menggunakan jet ski untuk menghantar barang keperluan kepada orang ramai kerana banyak laluan darat ditutup.
Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) pada Sabtu memaklumkan bahawa kira-kira sedozen agensi persekutuan terlibat dalam usaha menyalurkan bantuan untuk mangsa kebakaran.
Kira-kira 150 kakitangan FEMA, termasuk pasukan mencari dan menyelamat sudah berada di Maui, dengan lebih banyak lagi bantuan akan tiba.
Terdapat juga kritikan bahawa tiada siren amaran awal dibunyikan di Maui.
Kerja-kerja menyelamat bertambah rumit apabila bandar kecil Lahaina di utara dan selatan hanya boleh dicapai melalui satu laluan masuk.
Terdapat juga aduan bahawa pemindahan diarahkan terlalu lewat, menurut catatan Facebook oleh akhbar New York Times.
Ketua Bomba Bradford Ventura berkata pada sidang media bahawa kebakaran telah merebak dengan cepat dan "hampir mustahil" untuk mengarahkan pemindahan dengan cepat.
--BERNAMA-dpa
#Hawaii #kebakaran hutan #Maui #mangsa korban
;