Kebakaran di kepulauan Greece belum ada tanda reda
Astro Awani
Ogos 7, 2021 06:35 MYT
Ogos 7, 2021 06:35 MYT
ATHENS: Kebakaran yang tidak terkawal memasuki hari kelima di Greece pada Sabtu, memusnahkan pulau kedua terbesar negara itu, Evia, dengan ratusan penduduk terpaksa dipindahkan dengan feri manakala bakinya turun padang membantu usaha pasukan bomba memadamkan api.
Kebakaran yang bermula pada Selasa di bahagian timur negara itu di Pulau Athena, dengan cepat merebak ke beberapa daerah, memusnahkan ribuan hektar hutan asli di bahagian utara, yang memaksa puluhan kampung dikosongkan.
Kebakaran tercetus di banyak bahagian negara itu ketika cuaca panas terburuk melanda Greece dalam tempoh 30 tahun.
Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis menyifatkan keadaan itu sebagai "mimpi ngeri di musim panas", dan menegaskan keutamaan kerajaan adalah melindungi nyawa penduduk.
Di pinggiran Athens, angin kencang merebakkan api kebakaran ke kota Thrakomakedones di mana penduduk diperintahkan untuk berpindah. Kebakaran menyebabkan kemusnahan pada rumah dan kereta dan kepulan asap menyelubungi bandar itu.
"Situasi ini sangat buruk, seolah-olah seluruh Greece telah terbakar," kata Thanasis Kaloudis, seorang penduduk Thrakomakedones.
Kebakaran di kaki Gunung Parnitha di utara Athens memaksa orang ramai dipindahkan sejak lewat Khamis. Kebakaran dapat dikawal pada petang Sabtu tetapi angin diramalkan akan bertambah kuat sekaligus menimbulkan ancaman api akan kembali marak.
Greece telah mengerahkan tentera untuk membantu melawan kebakaran dan mendapat bantuan daripada beberapa negara termasuk Cyprus, Perancis dan Israel. Jerman mengatakan pihaknya akan menghantar anggota bomba yang dijangka tiba dalam tiga hingga empat hari lagi.
Lebih daripada 2,000 orang, termasuk warga tua, telah dipindahkan menggunakan feri dari Evia minggu ini.
Setakat ini seorang lelaki maut di Athens manakala sekurang-kurangnya sembilan yang lain cedera, kata pihak berkuasa.
Kerajaan merancang untuk memberi ganti rugi kepada mereka yang terjejas dan akan mewartakan tanah yang terbakar sebagai kawasan penghutanan semula, kata Mitsotakis.
Negara jiran, Turki juga sedang dalam usaha memadam kebakaran yang disifatkan Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai kebakaran hutan terburuk dalam sejarah negara itu.
Di resort Manavgat berhampiran dengan laut Mediterranean, di mana kebakaran pertama tercetus 10 hari yang lalu, hujan lebat membantu anggota bomba memadamkan api.
Lapan orang maut dalam kebakaran yang melanda wilayah pesisir barat daya Turki, memusnahkan puluhan ribu hektar tanah dan memaksa ribuan penduduk dan pelancong meninggalkan kediaman dan hotel.