Kebakaran di Hawaii, 1,100 penduduk masih gagal dikesan
Astro Awani
Ogos 24, 2023 08:00 MYT
Ogos 24, 2023 08:00 MYT
LAHAINA: Seramai 1,100 orang masih hilang dalam kebakaran luar kawalan yang melanda Pulau Maui di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Agensi berita Sputnik memetik pihak berkuasa melaporkan, selain lebih 1,000 individu yang masih gagal dikesan, lebih 1,400 lagi yang pada asalnya dilaporkan hilang, dijumpai selamat.
Pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan keluarga mangsa yang hilang untuk mengumpul sampel DNA bagi memudahkan proses pengecaman.
Sementara itu, pendakwa negeri Andrew Martin berkata pihaknya akan memastikan bahawa pemberian sampel DNA itu hanya akan digunakan untuk tujuan pengecaman.
Pada Isnin, Datuk Bandar Maui County Richard Bissen berkata sekurang-kurangnya 114 orang maut dan kira-kira 850 lagi hilang dalam kebakaran itu.
Kebakaran itu berlaku akibat cuaca kering dan panas yang diburukkan lagi dengan angin kencang yang dicetuskan oleh Taufan Dora.
Beberapa penempatan termasuk bandar pelancongan terkenal, Lahaina musnah dalam kejadian itu.