Kebakaran di Camden Market berjaya dikawal
Bernama
Julai 10, 2017 15:28 MYT
Julai 10, 2017 15:28 MYT
Kebakaran di pusat tumpuan pelancongan di London, Camden Market awal pagi tadi, berjaya dikawal dalam masa kira-kira dua jam, lapor agensi berita China Xinhua.
"Api telah dapat dikawal sepenuhnya, bagaimanapun anggota masih ditempatkan di lokasi kebakaran sebagai langkah berjaga-jaga," demikian menurut maklumat terbaharu kebakaran menerusi Twitter pasukan bomba dan penyelamat tempatan pada 0220 GMT.
Kebakaran dipercayai berlaku waktu tengah malam dan berdasarkan maklumat terkini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Tingkat satu hingga tiga bangunan berkenaan hangus dijilat api yang marak sehingga ke bumbung bangunan. Kira-kira 70 anggota bomba dan penyelamat dengan dibantu 10 jentera bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.
Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan, katanya.
Lokasi pelancongan popular itu mempunyai lebih 1,000 lot kedai, gerai dan tempat hiburan terbuka.
Kebakaran besar pernah berlaku di pasar itu pada Februari 2008 menyebabkan sebahagian besar perniagaan tidak dapat dijalankan.
Kebakaran di Camden Market berlaku hanya beberapa minggu selepas insiden kebakaran bangunan pangsapuri kediaman 27 tingkat di London 14 Jun lalu.
Laporan menyebut penggunaan bahan yang mudah terbakar ketika proses pengubahsuaian bangunan menyebabkan api marak dengan cepat dalam kebakaran yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 80 mangsa itu.
-- BERNAMA