Kebakaran besar landa Euboea, pulau kedua terbesar di Greece
Bernama
Julai 30, 2024 18:35 MYT
Julai 30, 2024 18:35 MYT
ATHENS: Ratusan anggota bomba dan sukarelawan sedang memadamkan kebakaran hutan yang besar pada Selasa di Euboea, pulau kedua terbesar di Greece, dengan kebakaran hampir mustahil untuk dikawal disebabkan angin kencang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kebakaran itu merebak dengan cepat di kawasan yang sukar dilalui, kata jurucakap bomba.
Penduduk di beberapa kampung dan bandar di kawasan yang terjejas di bahagian selatan pulau itu telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Lebih 200 anggota bomba dan ratusan sukarelawan sedang bertarung dengan api, kata pihak berkuasa.
Selain tujuh pesawat dan empat helikopter pemadam kebakaran, pengawal pantai juga berada di lokasi dengan sebuah bot pemadam kebakaran.
Kebakaran di Euboea hanyalah satu daripada lebih 50 kebakaran yang berlaku di Greece dalam tempoh 24 jam, menurut jurucakap bomba.
Bagaimanapun, kebakaran di kebanyakan tempat berjaya dikawal dengan cepat.
"Kami sudah biasa dengan kebakaran di sini selama bertahun-tahun," kata Datuk Bandar Kymi-Aliveri kepada akhbar Kathimerini.
Penduduk berharap api akan reda. Jika tidak, keadaan mungkin menjadi lebih berbahaya.
-- BERNAMA