Kebakaran bangunan di London, lebih 100 dipindahkan, dua dimasukkan ke hospital

Bernama
Ogos 26, 2024 18:53 MYT
Ketika ini, LFB menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan kawasan tersebut dan punca kebakaran masih tidak diketahui. - Reuters
LONDON: Lebih 100 orang dipindahkan manakala dua dibawa ke hospital selepas kebakaran melanda sebuah bangunan di Dagenham, London Timur, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ringkasan AI
  • Lebih 100 orang dipindahkan dan dua dibawa ke hospital selepas kebakaran melanda sebuah bangunan di Dagenham, London Timur.
  • Empat puluh lima jentera bomba dan 225 anggota dikerah bagi memadamkan kebakaran yang melibatkan keseluruhan bangunan komersial dan kediaman bercampur itu.
  • Perkhidmatan bomba berkata kebakaran itu menghasilkan asap yang tebal dan menasihatkan penduduk setempat untuk menutup tingkap dan pintu.

Briged Bomba London (LFB) berkata, mereka mula menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima panggilan berhubung kebakaran itu di Jalan Freshwater pada 2.44 pagi waktu tempatan pada Isnin.
Susulan itu, 45 jentera bomba dan 225 anggota dikerah bagi memadamkan kebakaran yang melibatkan keseluruhan bangunan komersial dan kediaman bercampur itu termasuk perancah di sekeliling hartanah dan bumbung, tambah LFB.
Bomba pada masa sama berkata kebakaran itu menghasilkan asap yang tebal dan menasihatkan penduduk setempat untuk menutup tingkap dan pintu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Bomba London, Andy Roe berkata, bangunan terbabit mempunyai beberapa isu keselamatan kebakaran yang diketahui oleh Briged Bomba London.
"Pemindahan serentak bangunan itu segera dijalankan dan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
"Briged juga telah menyediakan pengaturan strategik bagi menangani kebakaran dan pusat rehat ditubuhkan di Pusat Kesihatan dan Rekreasi Beacontree.
"Pegawai LFB juga ditempatkan di pusat rehat bagi memberikan sokongan kepada penduduk," katanya.
Bagi menangani kebakaran, dron baharu digunakan bersama dengan tangga putar 64 meter dan 32 meter sebagai sudut tinjau untuk menilai tempat kejadian dan memadamkan api dari atas, kata Roe.
Selain itu, pasukan dari Dagenham, Ilford, Romford, Barking dan balai bomba sekitar turut membantu di tempat kejadian manakala Freshwater Road ditutup kepada lalu lintas.
Ketika ini, LFB menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan kawasan tersebut dan punca kebakaran masih tidak diketahui.
-- BERNAMA
#London #kebakaran #Jalan Freshwater #Dagenham
;