Keanggotaan Timor Leste dalam ASEAN mampu beri nilai tambah - Mohamad

Syafik Shukri Jalil
Oktober 8, 2024 16:40 MYT
Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini belum ada sebarang konsensus dicapai negara anggota ASEAN berkenaan keanggotaan penuh negara itu.
VIENTIANE: Penyertaan Timor Leste dalam keanggotaan negara ASEAN akan mampu memberi nilai tambah kepada blok tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun berkata, ketika ini belum ada sebarang konsensus dicapai negara anggota ASEAN berkenaan keanggotaan penuh negara itu.
‘’ASEAN ini merupakan satu kumpulan negara yang apa jua keputusan berasaskan kepada keputusan bersama konsensus.
‘’Jadi itu yang kadang-kadang menyulitkan, ada satu dua negara kadang-kadang mempunyai pandangan yang berbeza kerana bukan sebab apa... tapi kerana tak suka, jadi itu kadang-kadang menyukarkan untuk kita mencapai kata sepakat.
‘’Jadi kita cuba supaya kata sepakat ini dapat dicapai untuk memastikan Timor Leste dapat masuk (dalam ASEAN), dia menambah nilai kepada keluarga ASEAN yang besar,’’ katanya.
Mohamad berkata demikian semasa ditemui delegasi media Malaysia selepas menghadiri mesyuarat Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, di sini, pada Selasa.
Selain itu tambahnya, Majlis Koordinasi ASEAN (ASEAN Coordination Council) juga mengadakan perbincangan untuk mempercepatkan dan membantu negara berkenaan supaya keanggotaannya dalam ASEAN dapat direalisasikan.
Namun Timor Leste juga perlu memenuhi keperluan yang ditetapkan supaya keanggotaan mereka diterima.
‘’Kita punya (hasrat) dalam Coordination Council itu, bercakap berkenaan dengan bagaimana cara untuk kita mempercepatkan dan membantu Timor Leste untuk dapat menjadi sebagai ahli tetap ASEAN.
‘’Banyak perkara yang Timor Leste perlu ambil maklum dan juga untuk mereka membuat berbagai-bagai perubahan di peringkat dasar mereka,’’ ujarnya.
Terdahulu pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 pada Julai, Mohamad berkata, Malaysia mencadangkan agar keanggotaan Timor Leste dalam blok ASEAN dapat dipertimbang dan disegerakan.
Ini kerana menurutnya, sesebuah negara yang ingin menyertai ASEAN perlu memenuhi 84 instrumen utama sebelum layak menyertai blok tersebut.
Timor Leste pada 2023 menyertai mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-32 di Jakarta buat pertama kali sebagai negara pemerhati.
#Timor Leste #ASEAN #Mohamad Hasan #Majlis Koordinasi ASEAN
;