Keamanan dunia jadi inti pertemuan bersejarah Imam Besar Al-Azhar, Pope Francis
Agensi
Mei 23, 2016 22:35 MYT
Mei 23, 2016 22:35 MYT
Pertemuan bersejarah antara pemimpin Vatican Pope Francis dengan Imam Besar Masjid Al-Azhar Sheikh Ahmed Al-Tayeb pada Isnin mempunyai erti yang jauh lebih besar daripada aksi mereka yang saling menyapa mesra dan berpelukan.
Pertemuan pertama antara Vatican dengan pemimpin tertinggi Islam Sunni itu menunjukkan perkembangan positif dalam perhubungan antara kedua-dua kepercayaan agama berkenaan, sejak Francis dilantik pada 2013.
“Pertemuan kami ini sudah menjadi mesej yang jelas,” ujar Francis ringkas pada awal pertemuan dengan Ahmed.
Dalam satu kenyataan mengenai kunjungan Sheikh Ahmed, Al-Azhar yang mewakili institusi pengajian berprestij, berkata Imam Besar itu menerima pelawaan Francis kerana mahu ‘meneroka usaha menyebarkan keamanan dan kewujudan bersama’.
Pertemuan santai itu hanya berlangsung selama 30 minit, namun Sheikh Ahmed menghabiskan masa lebih dari sejam di St Peter.
Jurucakap Vatican, Federico Lombardi dalam satu kenyataan berkata Francis dan Sheikh Ahmed telah berbincang tentang ‘cabaran yang dihadapi oleh pihak berkuasa dan penganut agama utama dunia’.
Mereka juga membincangkan tentang kerjasama demi keamanan dunia, menolak keganasan, dan situasi serta perlindungan terhadap Kristian di rantau konflik di Asia Barat.
Francis juga telah memberikan Ahmed salinan risalah Laudato Si', yang antara lain mengajak warga sedunia menyedari ancaman perubahan iklim dan seruan menyeimbangkan hubungan ekonomi antara negara industri dan negara membangun.
Ahmed bersetuju bertemu pemimpin Vatican itu setelah menilai beberapa pandangan yang dizahirkan Francis terhadap umat dan dunia Islam sejak mula dilantik sebagai pope.
Francis pernah menyatakan mahu menambah baik hubungan dengan dunia Islam sewaktu Ramadan pertama selepas pelantikannya.
Kunjungan Ahmed itu secara tidak langsung membawa ‘gambaran sebenar imej Islam dan untuk memperbetulkan salah faham yang dicetuskan kumpulan-kumpulan pengganas ekstremis’ di negara-negara Barat.
Ahmed menggalakkan negara-negara berkenaan agar tidak menganggap orang Islam sebagai kumpulan yang membawa ancaman. Selain itu, beliau menggalakkan umat Islam di negara Barat agar bergaul dengan baik dalam masyarakat setempat.
Perhubungan antara Vatican dan Al-Azhar sedikit tercalar pada tahun 2006 apabila pemimpin Vatican yang sebelumnya, Pope Benedict XVI menyampaikan ucapan yang mengaitkan Nabi Muhammad dengan keganasan.
Sebelum itu, pada tahun 200, Pope John-Paul II menemui Imam Besar Al-Azhar di Kaherah. Pertemuan itu berlaku setahun sebelum serangan 11 September di New York yang sekali gus mencelarukan persepsi dunia tentang dunia Islam.
#Imam Besar Al-Azhar
#Islam
#Kristian Katolik
#mesej toleransi
#Pope Francis
#Sheikh Ahmed Al-Tayebl-