Keahlian penuh PBB, tamat pendudukan Israel syarat penyelesaian dua negara - PM Palestin

Bernama
September 14, 2024 15:25 MYT
Mohammad menekankan keperluan bagi menggerakkan masyarakat antarabangsa "untuk meluluskan langkah praktikal bagi melaksanakan penyelesaian dua negara." - Foto Reuters
ISTANBUL: Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa menyatakan pada Jumaat bahawa mencapai penyelesaian dua negara memerlukan penamatan pendudukan Israel, pengiktirafan antarabangsa yang lebih luas terhadap Palestin sebagai negara berdaulat, dan keahlian penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Agensi Anadolu.
Perdana Menteri Palestin membuat kenyataan semasa berucap di ibu negara Sepanyol, Madrid di hadapan Kumpulan Perhubungan Arab-Islam mengenai Gaza, yang dibentuk oleh negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab (AL), menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.
Beliau menekankan keperluan bagi menggerakkan masyarakat antarabangsa "untuk meluluskan langkah praktikal bagi melaksanakan penyelesaian dua negara."
Mustafa juga menekankan kepentingan berusaha "untuk menamatkan pencerobohan pendudukan (tentera Israel) di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis."
Kumpulan hubungan itu dibentuk pada November pada sidang kemuncak bersama OIC dan AL di Arab Saudi untuk menamatkan konflik di Gaza dan menyumbang kepada usaha keamanan jangka panjang. Ia termasuk wakil dari Turkiye, Jordan, Qatar, Mesir, Arab Saudi, Indonesia, Nigeria dan Palestin.
Palestin memohon keahlian penuh dalam PBB pada 2011, tetapi Majlis Keselamatan tidak memberikan sokongan yang diperlukan. Kemudian pada tahun 2012, Palestin telah diberikan "status pemerhati tetap."
Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza sejak serangan Hamas Oktober lepas walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menuntut gencatan senjata segera.
Lebih 41,100 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dan lebih 95,100 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan Israel telah memindahkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu di tengah-tengah sekatan berterusan yang telah membawa kepada kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.
Israel menghadapi tuduhan genosid atas tindakannya di Gaza di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
-- BERNAMA
#penyelesaian dua negara #Perdana Menteri Palestin #penamatan pendudukan Israel #Mohammad Mustafa #keahlian penuh PBB
;