Keadaan tidak menentu, Singapura nasihat rakyatnya tinggalkan Myanmar

Bernama
Ogos 2, 2021 06:37 MYT
Balakrishnan berkata, buat masa ini, sekitar 240 warga Singapura telah mendaftar dengan Kementerian Luar Singapura. - Gambar fail/BERNAMA
SINGAPURA: Singapura menasihati warganya di Myanmar mempertimbangkan untuk meninggalkan negara itu secepat mungkin menerusi penerbangan komersial berikutan keadaan tidak menentu serta peningkatan kes COVID-19.
"Warga Singapura yang memilih untuk kekal berada di Myanmar harus mempertimbangkan risiko kesihatan dan keselamatan diri mereka," kata Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan dalam jawapan bertulisnya di Parlimen semalam.
Balakrishnan ditanya mengenai jumlah rakyat Singapura yang masih berada di Myanmar; dan sama ada akan ada penerbangan bantuan yang dijadualkan pada Ogos 2021.
Menteri itu berkata buat masa ini, sekitar 240 warga Singapura telah mendaftar dengan Kementerian Luar Singapura (MFA).
Ketika ini, terdapat tiga penerbangan bantuan seminggu disediakan dari Yangon ke Singapura, dikendalikan Singapore Airlines dan Myanmar National Airlines.
Namun, Balakrishnan berkata tiada jaminan bahawa penerbangan bantuan ini akan dilaksanakan secara berkala sepanjang Ogos dan seterusnya.
"Dalam senario seperti itu, kami juga mungkin tidak diberi kelulusan untuk melakukan penerbangan pulang," katanya.
-- BERNAMA
#Singapura #Myanmar #COVID-19 #Menteri Luar #penerbangan #Parlimen #bantuan #Kementerian Luar #warga singapura #vivian balakrishnan
;