Keadaan di Semenanjung Gaza kekal terdesak, dalam tekanan dahsyat
Astro Awani
November 13, 2023 07:15 MYT
November 13, 2023 07:15 MYT
GAZA: Keadaan di Semenanjung Gaza kekal terdesak dan berada dalam tekanan yang dahsyat.
Jurucakap persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bbulan Sabit Merah Antarabangsa, Tommaso Della Longa berkata, ramai yang masih hilang dan ada yang dibiarkan berada di bawah runtuhan kerana tiada siapa yang dapat memasuki kawasan berkenaan.
Selain akses ke kawasan yang dibom adalah sukar, pasukan paramedik juga tidak mempunyai kemudahan jentera berat seperti jentolak yang boleh membantu mencari mangsa yang terselamat.
"Setiap usaha diplomatik yang akan membawa walaupun sedikit pembukaan sempadan atau jeda kemanusiaan atau membawa lebih banyak bantuan di dalam Semenanjung Gaza disambut dengan hangat.
"Tetapi kita tahu itu sangat rumit. Masalahnya di sini adalah penduduk di Gaza tidak mempunyai masa. Bayi dalam inkubator Hospital Al-Quds tidak mempunyai masa," katanya.
Persatuan Palang Merah pada Isnin telah cuba untuk memindahkan kira-kira 6,000 pesakit dan beberapa kakitangan dari hospital kedua, Al-Quds, selepas ia ditutup kerana kekurangan bahan api, namun konvoi berkenaan terpaksa berpatah balik kerana tembakan dan pertempuran.
Pertempuran antara Israel dan Hamas di sekitar hospital memaksa beribu-ribu rakyat Palestin melarikan diri dari beberapa tempat terakhir yang dianggap selamat di utara Gaza, menyebabkan mereka yang cedera parah dan bayi baru lahir berlindung di tempat yang tiada makanan dan bekalan elektrik.
Sehingga Jumaat lalu, lebih 11,000 rakyat Palestin terkorban, yang mana dua pertiga daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.
Dalam pada itu, kira-kira 2,700 orang telah dilaporkan hilang.